Berhadapan dengan hati yang dukacita, tegaklah perasaan redha. Berdekatan dengan hati yang duka, tegak pula rasa benci.
Orang yang redha dan sukacita bilamana ia melihat alam sekelilingnya, timbullah kesenangan dan gembira. Kesenangan dan kegembiraan hati itu adalah pangkal jalan menuju bahagia. Redha menghilangkan cela dan aib. Lantaran redha telah lekat di hati dahulu, kalau ada cela itu akan lupa di fikiran, kalau ada cacat, cacat tidak akan teringat. Hal itu bukan lantaran kebodohan dan kegilaan, tetapi memang sudah dasar redha demikian adanya. Redha tabiatnya pemaaf, dan benci tabiatnya tidak adil.
Cubalah perhatikan orang yang cinta kepada anaknya yang masih kecil. Lantaran cintanya dia redaha anaknya buang air di atas pangkuannya, meski sedang enak makan. Cinta dan redha kepada isteri membawa badan larat, berhilang kampung dan negeri untuk mencarikan baju dan kain; cinta kepada tanah air menyebabkan orang redha dibuang, diasingkah bahkan mengorbankan jiwa. Semuanya dengan redha.
Itu bukan cinta buta, bukan kegilaan dan bukan lantaran kurang pertimbangan. Tetapi redha yang menjadi sebabnya. Redha kepada Tuhan adalah pohon dari segala pelajaran yang tersebut di atas tadi. Redha kata ahli ilmu pendidikan timbul dari 'Athifah', iaitu perasaan (emosi). Redha menerima kekayaan dan kemiskinan, cita-cita berhasil dan gagal, unsur panjang dan pendek, badan sihat dan sakit. Semuanya tidak ada perbezaan, sebab dia redha menerima ketentuan Tuhan.
Tetapi hati yang benci, yakni lawan dari redha, baginya semuanya salah dan buruk, yang baik sekalipun baginya masih murang baik. Yang telah cukup masih belum cukup. Sedangkan menghargai hikmat Tuhan dia tak sanggup, apatah lagi menghargai sesama manusia. Barang bagus yang lebih kelihatan olehnya ialah cacatny. Dia pengutuk pengeluh, penyesal dan sentiasa tiada puas. Tidak ada kepercayaannya kepada dirinya, usahkan kepada orang lain, apalagi kepada Tuhan. Ketika kaya dia masih merasa miskin, sebab dia selalu miskin.
Di waktu sihat dia masih merasa sakit, sebab itu tak pernah sihat, di waktu senang dia masih merasa susah, sebab itu dia tidak pernah senang.
Tidak perlu kita tarik keterangan lebih panjang tentang perasaan benci, kecewa itu. Kerana kekecewaan itu salah satu sebab-sebab yang besar dari kehinaan, iaitu lawan bahagia.
Redhalah yang membentuk penglihatan kita atas alam ini sehingga dia kelihatan indah, cantikdan mententeramkan hati.
Mereka lihat matahari ketika terbit. Mula-mula datanglah fajar laksana pengawal memberitahu kepada seisi alam, bahawa Maharaja Siang hendak bersemayam ke atas singgahsananya. Khabar itu pun sampailah ke telinga burung-burung, maka berkokoklah ayam, berkicaulah murai, bangunlah margasatwa dari sarangnya, menghadapi cahaya yang hendak terbit itu.
Demikian pula jika matahari hendak terbenam. Dengan perasaan tenteram tetapi sedih, kelihatan olehnya petani pulang menyandang bajak dan menarik sapi membajak. Puncak gunung laksana disepuh oleh cahaya matahari raja siang, yang hendak meneruskan perjalanan ke istana peraduannya, pulang dari balairong seri tempat dia melakukan tugas, menyiarkan sinar kebahagiaan dunia yang lain.
Warna langit dan awan, ketika awan gelap dan hujan akan turun, mengesan kepada jiwa yang redha.
Bulan di malam 14, yang sejuk dan laksana perak. Ufuk yang jauh tempat hujung penglihatan, langit yang biru, bintang yang berkelip-kelip, bukit barisan yang memanjang pulau, ombak gelombang memukul batu, semua menambah tenteram jiwa yang penuh keredhaan itu.
Meskipun darjat kehalusan perasaan manusia tidak sama. Meskipun ahli ilmu nujum melihat bintang dan menghitung perjalananya untuk mengetahui musim yang empat, berlainan dengan penglihatan ahli gambar yang hendak melukiskan langit dengan paletnya, namun langit bumi, bintang dan bulan, matahari dan awan, semuanya meninggalkan bekas di hati manusia, yang penuh redha. Bekas kesyukuran, merasa kelemahan diri berhadapan dengan kebesaran Tuhan...
"Ya Tuhan kami, sekali-kali tidaklah Engkau jadikan semuanya ini dengan sia-sia!"
Sedangkan keindahan buatan tangan manusia yang telah kena oleh ukuran tukang batu, atau ukuran dan jangkauan ahli handasah (jurutera), lagi menarik hati dan pandangan, kononlah buatan yang seganjil-ganjilnya atas alam ini.
Rumah yang indah, perkakas rumah yang cantik (luks), modelmobil yang paling baru, semuanya itu indah di mata ketika dia masih baru.
Tetapi alam bikinan Allah ini, sentiasa baru dan indah, tiap pagi, tiap petang, tiap matahari naik, tiap matahari turun, tiap malam berganti siang dan siang berganti malam.
Lihatlah gambar-gambar yang indah buatan ahli-ahli gambar yang mahir, buatan Raden Saleh dan Mas Pringadi di Indonesia, Rembrandt di negeri Belanda, Michael Angelo di gereja Vatican, bertambah halus buatan gambarnya, bertambah mahal harganya. Ditariknya gambar itu dari pencurahan perasaan segenap manusia yang melihatnya. Seakan-akan mereka jadi wakil dari orang ramai di dalam memuji Tuhan. Padahal itu semua adalah tiruan, dan tiap-tiap tiruan tidak juga dapat menyerupai yang ditiru.
Dipuji dan disanjung seorang ahli lukis yang dapat melukis sebuah bukit yang indah. Alangkah kesilnya badan kita jika kita berdiri di tepi ngarai yang curam, di Bukit Tinggi. Belum cukup sepersepuluh ketinggian rumah-rumah pencakar langit di Amerika. Rumah-rumah itu baru berpuluh tahun didirikan, sedang negara tersebut telah berdiri sebelum Adam disuruh keluar dari syurga.
Tiap-tiap pagi terbitlah matahari. Di musim dingin kelihatanlah beberapa bintang yang tertentu buat musim dingin, di musim panas kelihatan bintang yang selalu kelihatan di musim panas kelihatan bintang yang selalu kelihatan di musim panas. Demikian kehalusan teknik alam yang tak dapat ditandingi oleh kekuatan teknik manusia.
Manusia tak merasa jemu tiap-tiap bulan sentiasa melihat benderang bulan 14. Bulan dahulu telah melihat dan bulan muka akan terlihat lagi. Tidak, bahkan tiap-tiap terbit bulan yang baru, kesenangan hati mereka sama naik dengan penuhnya bilangan bulan. Bila langit cerah dan udara nyaman, di malam purnama bulan 14 itu keluarlah mereka dari rumah dengan hati sukacita. Mahu rasanya mereka meminta ditetapkan begitu saja, tidak di kisar-kisarkan. Bila lepas bulan terang terang dan beransur kurang, kegembiraan itu pun turun sampai tanggal 30.
Pada suatu hari di waktu Subuh setelah bilal naik ke tempat azan di kota Madinah menyerukan azan yang merdu, dan seluruh Muslimin telah berduyun-duyun ke masjid, kebetulan Rasulullah saw, belum juga keluar dari kamarnya, di rumah Aisyah.
Orang telah penuh menunggu abagnda, kerana siapakah yang akan berani tampil ke muka menjadi Imam selagi baginda masih hidup. Namun baginda belum juga datang.
Bilal tidak tahan lagi, maka meminta izinlah dia kepada Aisyah hendak menziarahi baginda ke kamar tempat baginda biasa tafakur.
Didapatinya, Rasulullah terbaring di atas hamparan kasur yang dijalin dari rumput airmatanya berlinang.
Tercengang Bilal, kenapa pahlawan perang yang gagah berani yang setiap waktu bersiap menghadapi musuh yang seganas-ganasnya, sehingga terlalai dia hendak datang ke masjid menangis padahal selama ini dia bangun lebih dulu.
Lalu dia mendekat berani saja hatinya bertanya:
"Ya Rasulullah! Mengapa junjungan menangis? Teringat akan dosakah, padahal junjungan tiada berdosa, baik dahulu ataupun sekarang atau pun nanti".
"Bilal!" kata baginda. "Tadi datang kepadaku Jibril membawa ayat demikian bunyinya:
Ertinya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pergantian di antara malam dengan siang, sesungguhnya jadi perhatian bagi orang yang mempunyai fikiran". (Ali-Imran: 190).
"Celakalah hai Bilal, orang yang membaca ayat ini, tetapi tidak difikirkannya bagaimana maksudnya. Celakalah dia!" Sabda Baginda.
Itulah yang baginda tangiskan!
Kalau tuan tahu 'rasabahasa' Arab, tuan pun akan berlinang airmata jika merenungkan ayat ini.
Cubalah perhatikan keindahan bunga yang mekar, yang menerbitkan rasa tenteram dalam jiwa melihat warnanya yang indah pilihan, merah jambu, merah, hijau laut, hijau kuning, lembayung dan lain-lain, yang tak kuasa tangan menusia menirunya. Sekuntum bunga yang kita lihat, yang baunya kita cium, yang kita pelihara dalam jambangan dengan perasaan halus, mempunyai rahsia-rahsia yang amat dalam, menunjukkan kehalusan ciptaan Tluhan yang menitahkan adanya. Keindahan dijadikan ilmu, tetapi tak dapat ditiru diteladani. Keindahan hanya dapat dirasakan. Bunga yang telah kekurangan air, yang mulai tunduk laksana berhati sedih, yang berserak di lantai, terpijak pijak, adalah menyedarkan perasaan halus menumbuhkan redha dan cinta dalam hati, hendak berkenalan dengan pengarang dan penggubahnya.
Perasaan hati tak hendak menerima kalau suatu barang tak dapat dibuktikan oleh penglihatan dan perasaan. Tetapi ilmu tidak mahu berhenti hingga itu saja. Ilmu hendak menyelami rahsia itu lebih dalam. Terbukalah bagi akal barang yang ghaib bagi mata, terdengarlah oleh hati barang yang tidak didengar oleh telinga. Pada akhirnya ilmu pengetahuan beroleh penemuan, bahawasanya tumbuh-tumbuhan atau bunga-bungaan itu pun mempunyai kehidupan pula.
Mengapa bunga yang baru mekar menghadapkan wajahnya kepada cahaya matahari? Mengapa bunga anyelir yang dipelihara dengan hati-hati oleh seorang perempuan muda di dalam sebuah pot yang indah, disiram sekali sehari, dijaga dipupuk, kelihatan beransur naik dan suburnya. Tetapi bila dilengahkan sedikit saja, daun-daunnya itu pun runduklah dan dia tak beranak lagi? Apakah hubungan bunga-bunga itu dengan cinta insan?
Sebab itu banyak sekali bangsa-bangsa yang terikat dan terjalin sejarahnya dengan bunga-bungaan. Bangsa Hindustan terjalin dengan bunga Bakung, bangsa Arab terikat dengan Zuhra, bangsa Ro dengan Zaitun, bangsa Indonesia dengan Melati, bangsa Cina dengan Sebangsa akar, yang kita di sini menamainya akar Cina, bangsa Jepun dengan Sakura.
Alangkah cantik dan jelitanya bunga-bungaan, alangkah halus perasaan yang dibawanya, sehingga bagi bangsa Barat, bunga itu dijadikan sebagai alamat kasih!
Dari memperbincangkan bunga-bungaan, kita pindah membicarakan alam binatang. Berapa ramai orang yang memandang binatang itu sebagai sahabat akrab. Hikayat-hikayat Arab Jahiliah banyak menceritakan kesetiaan unta dan kuda. Bangsa Eropa dengan anjing-anjing peliharaannya, bangsa kita dengan kucingnya. Sampai ada pepatah:
"Seindah-indah rumah, ialah yang menyimpan seorang gadis remaja, berkucing seekor yang akan membasuh mukanya mengadap ke tangga memberi tahu tamu akan datang".
Seorang filosof bangsa Hindustan pubakala bernama Baidaba, telah mengarangkan hikayat: "Kalilah dan Daminah". (Hikayat Panca Tanderan), mengambil kias pelajaran siasat yang hendak diberikannya, kepada raja Dabsyalim dari kehidupan binatang-binatang.
Setelah itu mari kita kembali kepada jalan yang sedekat-dekatnya, yakni kepada diri kita. Seaian-akan badan ini seperti suatu kerajaan yang teratur, sejak dari raja dengan menteri-menterinya, yakni mata telinga hidung dan lain-lain. Sampai kepada perjalanan darah, hubungan anggota. Perhatikan pula perubahan badan sejak lahir, sampai besar, sampai dewasa, sampai tua dan menjunjung uban, sampai kembali ke liang kubur. Perhatikan adanya akal dan fikiran yang rupanya tak ada makhluk lainnya.
Tak dapat dihitung banyaknya, semua membangkitkan perasaan tenteram dalam hati, menghaluskan budi dan pekerti, memperdalamkan akal dan fikiran.
Plato berkata:
"Bahawasanya memperhatikan keindahan alam, itu menambah harga diri".
Setengah filosof berkata pula:
"Yang menyebabkan kita merasa kesepian dalam hayat ini, ialah sebab kita hendak berkenalan dengan alam yang selain insan, tidak pula hendak kenal kepada Pelindung alam yang indah itu".
Sayid Musthafa Luthfi al Manfaluthi, pengarang Arab yang masyhur itu, pernah berkata tentang kebahagian:
"Carilah bahagia di dalam rimba dan belukar, di lurah dan dibukit-bukit, di kebun dan di kayu-kayu, di daun yang hijau dan bunga yang mekar, di danau dan sungai yang mengalir. Carilah bahagia pada Sang Slurya, yang terbit pagi dan terbenam petang, pada awan yang sedang berarak dan berkumpul, pada burung-burung yang sedang hinggap dan sedang terbang, pada bintang-bintang yang sedang berkelip-kelip, dan yang tetap di tempatnya. Carilah bahagia di kebun bunga di dekat rumahmu, di bandarnya yang baru dibikin di barisan tanamannya yang baru diatur. Carilah di pinggir sungai sambil bermenung, di puncak-puncak bukit yang didaki dengan payah, ke dalam lurah yang dituruni. Carilah ketika mendengarkan aliran air tengah malam, pada bunyi angin sepoi-sepoi basah, pada persentuhan daun kayu di tengah sawah. Dalam semua yang saya sebutkan itu tersimpanlah bahagia yang sejati, yang indah, mulia, murni, sakti, yang menyuruh faham menjalar, menyuruh perasaan menjalar ke dalam keindahan, menghidupkan hati yang telah mati, mendatangkan ketenteraman yang sejati di dalam lapangan hayat". (Dalam bukunya 'Majdulin).
Mengapa kita insan ini tidak memperhatikan keindahan yang terdapat di alam ini, tetapi hanya mencari cacatnya? Mengapa kita tidak memperhatikan keindahan yang memenuhi segenap rohani dan jasmani kita sendiri? Hanya mencari aib dan cela orang lain? Mengapa kita hanya memperkatakan keburukan niat orang, hasad dan dengki tipu dan daya? Sempitkah dunia ini untuk tempat bersemedi? Tempat orang menunjukkan bakti kepada Tuhan?
Nikmatilah alam keindahan itu, supaya terbit syukur yang penuh kepada penciptanya. Sudahlah, hentikanlah hingga itu khizit dan khianat, haloba dan tamak serta tiada peduli.Diri yang suka kepada keindahan akan naik tingkatnya, akan bersih selangkah demi selangkah, akan terhindar jauharinya yang mahal itu dari daki dan kotoran yang menyelimuti cahayanya. Jiwa yang mengenal keindahan tidak suka pada kekejian pada keburukan, buruk aalah lawan keindahan. Dia akan berusaha melepaskan diri dari budi pekerti rendah, yang tiada bersetuju dengan kemuliaan.
Khayalnya bersih, pancainderanya yang batin murni, sebab tela ada tangganya menuju Tuhannya.
Bacalah susunan syair yang indah-indah, tentu timbul keinginan hendak memuji penyusunnya. Bacalah karangan buku yang berfaedah, tentu timbul kerinduan berkenalan dengan pengarangnya. Inilah di hadapan mata kita, iaitu alam, bacalah, rasailah, masukkan ke jiwa raga, nescaya akan timbul keinginan dan kerinduan berkenalan dengan Yang Menjadikannya.
Memang amat inggi letak bahagia itu. Tetapi kita harus menuju ke sana. Ada orang yang putus asa berjalan menujunya lantaran disangkanya susah jalan ke sana. Padahal mudah, sebab dimulai dari dalam diri kita.
Marilah kita tempuh dan kita teruskan perjalanan, tak usah kita kaji jauh dan dekatnya, kerana itu bergantung kepada usaha kita juga, dan kalau kita mati dalam perjalanan itu, dan tujuan itu masih jauh juga, bukankah kita telah mati dalam perjalanan itu? Bilamana kita bertemu dengan yang menciptanya, yakni dengan Tuhan, akan kita jawab terus terang, bahawa kita mati di dalam mencariNya, mati di dalam gelombang percintaan kepadaNya!
Tentu akan ditimbangkanNya. Sebab Dia adalah Maha Pengasih dan Penyayang!
ALLAHU AKBAR
No comments:
Post a Comment