Wednesday, October 1, 2008

Amin Al Raihany

Pendapat Filosof Arab Amin Raihany

1. Bahagia Dan rukunnya Yang Empat.

Bahagia terdapat di dalam hidup manusia kesenangan yang tidak diiringi kesusahan, atau kesusahan yang tak berganti dengan esenangan. Tetapi ada pula manusia yang beroleh nasib separuh kesusahan dan separuh kesenangan. Atau nikmat lebih banyak kelihatan di tangan seorang, dan sedikit di tangan yang lain. Namun begitu, semuanya tidak juga menerima bahagiannya dengan redah.Adapun bahagian yang lebih banyak dalam kalangan manusia, ialah orang yang selalu merasa kecewa. Kerana itu, bahagia jauh daripadanya.

Bagaimana ikhtiar supaya kita beroleh hasil kebalikan dari itu?

Bagaimana akal ikhtiar supaya kesenangan lebih dirasai dari kesusahan? Padahal senang dan susah, susah dan senang tidak dapat tidak, mesti berganti-ganti datang pada kehidupan?

Manusia pelupa, dan lupa itu bukan atas kehendaknya. Di waktu susah, dia lupa bahawa dahulu dia telah merasa senang. Waktu sakit, dia lupa bahawa dahulu dia sihat.

Nabi Ayyub sendiri, ketika harta bendanya telah habis dan badannya telah rosak binasa ditimpa penyakit, lupa dia bahawa dahulu dia kaya raya, segar bugar. Sehingga dia merintih, memekik sepenuh bumi sebab sesudah dia senang, dia ditimpa sakit dan melarat. Padahal kalau dia ingat hal yang pertama, tentu ringan baginya hal yang kedua.*

*- (Pengarang ini seorang filosof, jika dia mengkritik Nabi Ayyub adalah tanggungan sendiri. Penyalin bukan pengarang dan menurut kepercayaan orang Kristian, segala nabi itu berdosa, dosa kecil atau besar, kecuali Isa Al Masih putera Tluhan dan juru selamat)

Orang ahli hikmat dan orang dungu, sama saja kelakuannya dalam perkara ini. Oleh kerana itu kami minta kepada keduanya, ahli hikmat dan orang awam supaya sudi memelihara ilmu, memelihara undang-undang dan agama. Kerana hanya dengan menjagai ketiganya itulah manusia akan merasa nikmat kesenangan yang umum, itulah yang meringankan perasaan kecewa, dengan sekadar yang dapat, dalam hidup.

Itulah kewajipan ilmu, undang-undang dan agama, iaitu menolong manusia untuk menjelaskan kehendak pengubah kehidupan Yang Maha Besar, iaitu supaya kebaikkan yang besar menjadi bahagian yang besar pula bagi tiap-tiap manusia. Tak ragu lagi, bahawa kepada langkah inilah kita semuanya menuju. Tak ragu pula, bahawa manusia yang berkehendak membagi kesenangan dan kesusahan, nikmat dan celaka, lebih banyak jumlahnya pada masa ini, daripada di zaman kehidupan Tutankhamen. Bilangan ini akan bertambah jua, takkan susut. Bahagian yang menerima bahagia akan lebih besar dari yang menerima celaka. Jika sekiranya ilmu bertambah maju, nescaya perbaikan ekonomi dan masyarakat bertambah maju pula. Itulah kehendak kita.

Jalan yang pertama ialah memperbaiki diri manusia sendiri. Jalan yang pertama pula di dalam memperbaiki manusia, ialah supaya dikenalkan kepada mereka 'hakikat' yang sejati, dan dididik dia beramal di dalam hakikat itu. Hakikat itu ialah, bahawasanya kesenangan hidup tidak akan terdapat, kalau tidak berdiri rukunnya yang 4 (empat).

  • Sihat Tubuh.
  • Sihat Akal.
  • Sihat Jiwa dan
  • Kaya (cukup).
Jalan untuk mencapai rukun yang epat itu banyak. Ahli hikmat bermacam-macam pendapatnya dalam perkara ini, tetapi akan saya kemukakan kepada tuan, manakah menurut pendapat saya jalan yang lebih dekat kepada yakin untuk mencapai hakikat dari rukunnya itu. Yang saya tuliskan ini ialah penyelidikan dan pengalaman.

1. Bagaimana Memelihara Kesihatan dan Kesegaran?

  • Jangan dibiasakan memakan ubat-ubat dan alat-alat penguat (ubat kuat) badan.
  • Jangan meminum minuman keras untuk meringankan kesusahan hati.
  • Kalau engkau yakin bahawa kesihatan boleh dicapai dengan suatu percubaan, janganlah mundur maju mengerjakannya. Lakukanlah percubaan itu.
  • Jangan diperturutkan kehendak nafsu, jangan diturutkan syahwat.
  • Lekas tidur dan lekas bangun.
  • Biasakan menarik nafas menurut dasar ilmu, dalam beberapa minit di dalam tiap-tiap hari. Berdirilah ke muka jendela, atau di udara terbuka, penuhi paru-paru dengan udara, yang ditarik dari hidung dan dilepaskan dari mulut.
  • Makanlah apa yang disetujui oleh selera, tetapi jangan makan supaya kenyang. Biasakanlah, bahawasanya sesudah berdiri dari meja makan seakan-akan engkau merasa makan itu belum kenyang. Kalau engkau rasai bahawa badan engkau agak berubah, (demam-demam), ingatlah perkataan Nabi Muhammad saw: "Perut rumah penyakit, penjagaan rumat ubat".
  • Puasalah barang seminggu atau dua minggu di permulaan musim bunga (rabi').
  • Biasakan dirimu bersenam atau sport, seperti belajar berenang, berburu, mengail ikan, mengendarai kuda, atau tenis. Kalau pekerjaan dan penghidupan tidak mengizinkan, maka biasakanlah sebelum tidur, dan setelah bangun mengambil sedikit gerakan badan, supaya badan tidak kaku.
  • Mandilah dengan air dingin tiap-tiap pagi.
  • Pergilah ketempat pekerjaamu berjalan kaki. Atau berjalan kakilah sekurang-kurangnya setengah jam satu hari, untuk mengambil udara pagi, supaya darah yang mengalir di badan beroleh hawa baru dan bergembira, dan pipimu bercahaya. Berjalan kakilah, dan hendaklah terasa ketika melangkah itu bagaimana nikmat yang dirasai oleh burung-burung di udara yang terbang mengawang dan hinggap bebas.
Pada suatu hari terjadilah pergumulan di antara dua pemuda. Ketia yang seorang kalah, orang-orang yang menyaksikan berkata kepadanya: "Engkau tentu kalah, sebab dia biasa berjalan kaki, berenang dan biasa mandi dengan air dingin".

Ada lagi yang paling perlu di dalam menjaga kesihatan, jangan membenci orang. Adik kandung dari sifat pembenci itu, ialah hasad (dengki). Kalau engkau pembenci pula, miskinu akan berlipat, sebab kawanmu tak ada, padahal di dalam banyak perkara, kamu perlu kepada pertolongan orang lain. Kalau engkau ditimpa susah, kesusahan itu akan bertambah-tambah kalau engkau pembenci.

Adapun hasad dengki itu menghilangkan keindahan, baik keindahan badan, atau keindahan jiwa, atau keindahan akal. Bahkan keindahan wajahmu dihilangkannya. Sebab itu, jangan pembenci dan jangan pendengki.

2. Kesihatan Akal, Ingatan, Keteguhan Pendapat Dan Fikiran.

  • Yang jadi pengiring daripada kesihatan akal itu, akan diperdapat dengan menegakkan tiangnya, yakni banyak membaca dan banyak memikir.
  • Hendaklah baca, walaupun satu saat dalam sehari bacaan-bacaan yang menyenangkan dan berfaedah. Jangan dibiarkan waktumu hilang percuma.
  • Jauhkan membaca hikayat yang membangunkan syahwat (cabul).
  • Jangan menilik kehidupan dan segala masalah yang terkandung di dalamnya dengan kacamata lawanmu. Ingatlah bahawa tiap-tiap perkara itu selalu mempunyai banyak hukum, sekurang-kurangnya dua hukum. Kerana dilihat dari segala sudut.
  • Menghukum hendaklah insaf. Mengeluarkan pendapt hendaklah jujur. Mengeluarkan perkataan hendaklah benar. Pakailah keadilan walaupun kepada diri sendiri.
  • Perkara kecil-kecil (titik-bengik) jangan menggoncangkan hati, kerana kalau dibiasakan tergoncang lantaran perkara kecil, tanagamu akan lemah menghadapi yang lebih besar.
  • Cukuplah persediaan kekuatan akal dan jiwa untuk menghadapi kesusahan dan perjuangan.
  • Sediakan masa barang satu jam atau setengah jam tiap hari untuk mengistirehatkan akal dan tubuh. Kalau fikiran susah, duka, sedih dan marah, saat yang satu jam atau setengah jam itu dapatlah mengembalikan ketenangan fikiran (sakinah) dan keredhaan.
Perjuangan hayat selalu menghendaki kepayahan akal. Akal yang menang, ialah akal yang selalu diasah dan diuji. Akal yang lekas mengeluarkan pendapat yang dihukumkan, dan selalu pula menilik apa yang di belakang yang tampak di mata.

3. Kesihatan Jiwa

Rukunnya yang pertama ialah beriman pada Allah. Tetapi iman itu tidak ada ertinya kalau tidak kelihatan bayangannya, padahal ehwal setiap hari, atau pada hubungan antara kehidupan dengan alam. Tampak alamatnya pada kerinduan yang terbit dari cinta yang menghubungkannya dengan hayat, dan dengan cita-cita yang menghubungkan engkau dengan alam.

Kalau engkau telah duduk seorang diri, lepaskan ikatan badanmu, unjurkan kaki dan bebaskan akal, pejamkan mata, jangan dibelokkan fikiran kepada yang lain. Setelah terasa istirehat, di bawah pengaruh kebaikan hati, nescaya akan menjalarlah jiwa ke dalam alam yang lain dari alam kita ini.

Perhatikan diri sendiri, ingat pertaliannya dengan alam yang yang diliputi cahaya, kesihatan dan kekuatan. Setelah itu mohonlah kepada Tuhan:

"Ya Ilahi, tambahlah kekuatanku dan tambahlah cahayaku!"

Setelah itu ingat pula bahawa diri engkau ini satu bahagian dari satu masyarakat besar, masyarakat itu menghendaki supaya tiap-tiap tiangnya teguh,dan menghendaki supaya engkau menjadi salah satu tiang yang teguh itu. Ketika itu mohonlah kepada Tuhan dan akuilah di hadapanNya.

"Ya Allah, Saya mulai memperbaiki diriku sendiri, supaya perbaikan itu berpindah kelak kepada sesama manusia yang ada di sekelilingku"

Setalah itu ingat pula bahawa dirimu satu bahagian dari rumahtangga yang harus sama-sama menanggung kesakitan dan kesulitan dalam hidup ini, dalam memikul kewajipan yang berat.

Ketika itu mohon pula kepada Tuhanmu:

"Ya Ilahi! Pertolongan Engkaulah yang aku harapkan supaya dilapangkan jalanku menuju cinta, menuju kemudahan langkah menuju hikmat, dan kesederhanaan!"

Satu perkara lagi yang tinggal, iaitu kemiskinan atau putus asa.

Kalau bertemu perkara yang dua ini, walaupun badan sihat, akal cerdas, dan roh bersih, namun keduanya adalah racun bahagia.

Tangkal atau ubat penyingkiran racun ini mesti ikhtiarkan segera. Iaitu hendaklah segala usaha dan pekerjaan selalu digandengkan dengan tiga syarat, iaitu:

  • Tahu Harga Diri.
  • Percaya kepada diri sendiri.
  • Menyerah kepada Diri.
Kalau di dalam suatu usaha pertama engkau jatuh, kedua engkau jatuh, ketiga engkau jatuh juga, ingatlah bahawa segala sesuatu itu beredar menurut untung nasib yang selalu berputar. Saya tidak suka memberi engkau nasihat supaya dalam kekalahan itu engkau tawakal saja, tidak diiringi dengan cita-cita.

Tetapi alau percubaanmu itu berhasil, sekali-kali jangan engkau cukupkan begitu saja. Kerana kalau berhenti hingga itu saja, pekerjaan itu akan usang, akan basi, kegiatanmu habis, cita-citamu terkurung, kemahuanmu jadi lemah.

Sungguh, kebahagian itu didapat di dalam perjuangan yang terus menerus. Bahagia yang paling besar ialah pada kemenangan yang silih berganti. Kemenangan tidak ada, kalau tidak ada perjuangan.

Ada pula yang perlu saya pesankan:

Terimalah dengan besar hati apa yang ada ini, dan tiap-tiap hari mesti bersungguh-sungguh, walaupun kesungguhan itu ada yang tak berubah. Tidurlah dengan hati tenang dan redaha,penuh kepercayaan kepada Allah, kemudian itu kepada dirimu sendiri, kelak kalau engkau bangun pagi-pagi, engkau akan beroleh kegiatan dan kemahuan baru, untuk berjuang.

Sebagai kesimpulan semua nasihat itu, saya ulangkan suatu pepatah yang sangat berharga, iaitu:

"Kekayaan ialah pada perasaan telah kaya".

Kalau engkau telah disebut kaya, sesen pun tak bererti kekayaan itu, kalau tidak engkau pergunakan untuk mesaslahatan umum, untuk membela fakir dan miskin. Orang yang menyucikan (menzakatkan) hartanya baiklah untungnya.

Ingat pula sebelum kita berpisah bahawa berpacu di gelanggang hidup itu pun mengundang perpacuan kesucian jiwa. Perpacuan yang semulia-mulianya ialah berpacu di dalam berpacu.

Moga-moga engkau dijadikan Tuhan orang yang masuk gelanggang perpacuan itu, sehingga engkau merasai kebahagiaan sejati, kerana kemenangan berpacu.







No comments:

Post a Comment