Keterangan beliau ini perlu kita luaskan sedikit lagi. Sebenarnya kalau ditilik kepada perjalanan agama-agama yang timbul di Timur, padahal agama itu pangkal penghidupan dan peradaban, maka Islam adalah agama yang selalu menghendaki jihad, yakni setiap nafas turun dan naik harus diisi dengan perjuangan. Untuk menjadi bukti bagaimana harga jihad di dalam Islam, di sini kita salin dan ringkaskan keterangan Al-Imam Ibnul Qayyim di dalam bukunya "Zaadil Ma'ad", demikian bunyinya:
Jihad itu ada empat tingkatan: Jihad kepada diri (nafs), jihad kepada syaitan, jihad kepada kuffar dan jihad kepada munaafiqin.
Jihad kepada diri ada empat bahagian juga. Bahawa dijihad pada diri itu supaya dia suka bersungguh-sungguh mempelajari petunjuk (hudan) dan agama yang benar. Bahagia tidak tercapai baik kehidupan di dunia, apalagi di kehidupan akhirat, melainkan dengan petunjuk agama yang benar itu. Supaya di jihad nafs atas beramal sesudah berilmu, dan bahawa di jihak diri supaya berdakwah (menyeru) manusia kepada petunjuk dan agama yang tak memberi ajaran kepada yang tiada tahu. Kalau tidak dilakukan yang demikian, termasuklah dia kepada golongan orang yang sengaja menyembunyikan kebenaran yang telah diturunkan Allah beserta petunjuk, dan tidaklah memberi manfaat atasnya ilmunya, dan dia tidak akan terlepas dari azab Allah. Hendaklah pula dijihad nafs itu supaya sabar menempuh kesusahan di dalam menyerukan agama Allah itu dan kesakitan yang ditimpakan oleh sesama makhluk.
Kalau sempurna martabat yang empat itu, termasuklah dia menjadi golongan orang Rabbani, iaitu orang terlatih jiwanya.
Adapun jihad menghadapi syaitan, adalah dua martabat pula: Ialah dengan jalan menolak segala syubhat dan syukuk (keragu-raguan) yang dapatimengotori iman. Menjihadnya memerangi segala kehendak-kehendak yang salah dan syahwat. Jiad martabat yang pertama ialah dengan jalan yakin. Jihad martabat yang kedua dengan jalan sabar, menurut firman Tuhan:
Ertinya:
"Kami jadikan dari mereka orang yang menjadi imam (ikutan) yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, tatkala mereka telah sabar, dan adalah mereka yakin dengan ayat-ayat Kami". (As-Sajjadah: 24).
Di sana nyata bahawa pangkat menjadi ikutan di dalam agama akan tercapai dengan sebab sabar dan yakin. Kerana sabar menolakkan syahwat dan iradat yang tak baik, dan yakin menolakkan syak wasangka dan subhat.
Adapun jihad dengan kafir dan munafik, empat pula martabatnya: Iaitu dengan hati, dengan lidah, dengan harta dan dengan diri. Maka barangsiapa yang mati, padahal belum pernah berperang dengan salah satu senjata yang empat perkara itu, dan tidak ada pula niatnya hendak berperang, maka matilah di dalam golongan munafik. Tidaklah sempurna jihad melainkan dengan iman. Orang yang benar-benar mengharapkan rahmat Allah, ialah orang yang menegakkan ketiga-tiganya (jihak, hijrah dan iman).
"Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berpindah dan berjihad pada Sabilillah, itulah orang yang benar-benar mengharapkan rahmat Allah, dan memberi ampun dan kasih". (Al-Baqarah: 218).
Maka Allah telah memerintahkan bagi tiap-tiap kita mengerjakan dua hijrah, pada tiap-tiap waktu. Iaitu hijrah kepada Allah dengan jalan tauhid, ikhlas, menyerah, tawakal, Khauf (takut), raja' (mengharapkan), mahabbah (cinta) dan taubat. Hijrah kepada RasulNya dengan mengikuti sunnahnya dan tunduk kepada perintahnya, mendahulukan sabdanya dan sabda orang lain. Barangsiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul, adalah hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul. Tetapi siapa yang hijrah kepada dunia yang akan membawa keuntungan kepadanya atau kepada perempuan yang akan dikahwininya, hijrahnya itu hanya sekadar tujuannya itu juga adanya.
Allah perintahkan kita memerangi (menjihad) diri sendiri dalam mencari Allah, dan memerangi syaitan. Tiap-tiapnya ini ialah fardhu ain, tak boleh digantikan atau diserahkan kepada orang lain. Tetapi hihad dengan kafir dan munafik, cukuplah jika dikerjakan oleh setengah umat sebab telah hasil maksud. Yang lain mengerjakan yang lain pula. Maka orang yang sempurnya imannya pada sisi Allah, ialah orang yang sanggup menyempurnakan jihadnya semuanya.
Tetapi makhluk ini bertingkat-tingkat pula kedudukan mereka pada sisi Tuhan, menurut angkatan martabat jihadnya.
Maka adalah makhluk Allah yang paling sempurna dan penutup dari segenap para Rasul, Nabi Muhammad saw, yang telah mencapai setinggi-tinggi jihad. Telah berjihad, sejak dia dibangkitkan Tuhan sampai dia wafat".
Sekian kita salin keterangan Ibnul Qayyim itu tentang pelajaran Jihad dalam Islam, supaya terang bahawa kupasan Bertrand Rlussel tentang "Kebijaksanaan Timur" itu tidaklah Islam, tetapi mengenai ajaran-ajaran agama Hindu atau Budha dan seumpamanya. Sesungguhnya kematian perasaan jihad inilah yang telah menyebabkan kaum Muslimin sangat mundur pada dewasa ini. Mungkin setelah ajaran agamanya dicampur adukkan dengan agama yang lain. Kaum Muslimin akan melebihi Barat dalam berjihad bersungguh-sungguh, jika pelaranan agamanya dipegangnya kembali dengan teguh. Sebab Bertrand Russel tadi menerangkan tergelincirnya dinamik Barat, kerana dipengaruhi kebendaan.
Kita kembali kepada keterangan terakhir dari Bertrand Rlussel.
Penyerahan
Penyerahan yang sebenarnya amat besar pertaliannya dengan bahagia. Ada manusia yang segera bergoncang hatinya ditimpa bahaya yang sedikit. Orang yang begini hendaklah membesarkan kekuatan dirinya (jiwanya). Jangan boros membanting kekuatan di dalam mengatur pekerjaan. Terlalu teliti, terlalu lekas tersinggung, tidaklah membawa kemenangan di dalam pekerjaan. Orang ini lekas cemas, orang pencemas mati jatuh.
Itulah sebab agama-agama menyuruh umatnya tunduk kepada iradat Allah. Tidak syak lagi bahawa manusia perlu memakai penyerahan dalam segenap pekerjaannya. Hendaklah orang berusaha sepenuh tenaga, setelah itu serahkan kepada Tuhan yang mengatur tiap-tiap sesuatu. Taslim (penyerahan) ini terbagi dua:
Penyerahan sangat kuat hubungannya dengan putus asa. Dia menyerah, tetapi dia sia-sia. Penyerahan kedua ialah menyerah sambil terus menegakkan cita-cita yang tidak mahu kalah. Orang yang lemah longlai kalau penyerahan masuk darjat putus-asa, alamat akan jatuh, tidak naik lagi. Orang ini penyesal diri, hati kecil, lemah semangat, sebab itu dia tidak beroleh bahagia. Orang berkerja, tetapi tidak merasa putus asa, meskipun dia jatuh, dia masih tetap merasai nikmat bahagia dalam hatinya. Lantaran cita-cita besar itu melepaskan kita dari ikatan diri sendiri, masuk ke masyarakat kemanusiaan umum.
Tidak ada ilmu atau pendapat baru yang membawa orang putus asa jika belum berhasil. Lantaran mereka merasa kekecewaan ini bukan kekecewaan orang seorang, tetapi akan disempurnakan oleh manusia yang lain. Kewajipannya hanya mempergunakan tenaganya selama masih boleh dipakai. Penyerahan yang beginilah yang membangkitkan bahagia.
Orang Yang Bahagia
Sumber bahagia manusia adalah dua, dari dalam dan dari luar diri. Di atas telah kita terangkan sebab kebahagiaan urusan dalam itu, yakni makan cukup, tempat tinggal memadai, badan sihat, keberhasilan dalam pekerjaan, disegani orang. Maka tidak ada batasnya lagi dengan bahagia, bahkan bahagia telah didapatnya.
Cuma satu yang perlu diubati iaitu penyakit jiwa yang perlu dioperasi dengan penyelidikan ilmu jiwa moden, iaitu perasaan sombong. Dengan demikian, kalau alam luaran tidak dapat kecelakaan yang umum, tidaklah manusia akan terhambat mencapai bahagia. Oleh kerana itu wajiblah pendidikan dan pengajaran zaman sekarang didasarkan atas mempersesuaikan alam bahagia dalam (jiwa) dengan bahagian luar. Kerana manusia yang bahagia ialah yang hidupnya buat alam, bukan buat dirinya sendiri. Apa juga yang ada di dalam alam ini, semuanya mengandung sebab-sebab buat menyenangkan masyarakat.
Saya kurang setuju dengan setengah ahli fikir yang menyemboyankan keperluan orang lain saja dengan melupakan diri. Tidak ada orang yang akan mengajak kahwin seorang perempuan dengan perjanjian bahawa maksudnya kahwin ialah kebahagiaan perempuan saja biar dirinya celaka. Yang sebenarnya ialah diri seseorang, satu bahagian dari kedirian masyarakat. Menimbang kemaslahatan bersama, bukanlah ertinya kehendak orang seorang, kerana kumpulan seseorang inilah yang jadi masyarakat ramai. Diri seorang dan masyarakat itu hanya satu tubuh yang bernama dua, dari masyarakat juga, masyarakat diri juga. Kebahagiaan manusia ialah persetujuan kehendak diri dengan kehendak masyarakat.
Manusia yang beroleh bahagia ialah yang tidak merasa kecewa kepada dirinya, dan tidak merasa kecewa setelah diri itu tenggelam ke dalam masyarakat. Terpisahnya di antara kepentingan masyarakat hanyalah bilamana orang tidak merasa bahagia lagi.
Demikian keterangan Bertrand Russel.